Monday, 13 February 2012

JENTERA HILANG KAWALAN REMPUH PAGAR RUMAH.

Agak-agaknya sekarang ini musim langgar rumah,kedai,petrol pump pulak ye?? 
 Seorang guru terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum menyedari tembok dan pagar rumahnya di Taman Desa, Seksyen U12, di sini dirempuh sebuah forklift yang diubahsuai sebagai traktor.

Akibat rempuhan yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, semalam kereta Nissan Grand Livina milik mangsa, Rozaidah Muhammad, 37, turut rosak.


Rozaidah berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap-siap untuk keluar mengajar di sekolah berhampiran.


“Ketika itu, saya bersama dua anak berada di rumah, sebaik terdengar dentuman kuat, saya tinjau ke luar tingkap dan mendapati jentera berkenaan telah merempuh pagar, tembok dan kereta saya.


“Jentera itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dan pagar rumah jiran berhampiran,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Difahamkan, pemandu jentera berkenaan gagal mengawal kenderaan akibat masalah brek ketika menuruni kawasan bukit berhampiran kawasan perumahan itu.


Jentera berkenaan, sebelum itu dikatakan menjalankan kerja-kerja membaik pulih tangki air di kawasan perumahan yang kebetulan berada di atas bukit.


Walaupun mengalami kerugian besar, Rozaidah bersyukur kerana anak-anaknya tidak berada hampir dengan kawasan rempuhan itu.


Seorang lagi mangsa yang pagar rumahnya turut musnah, Azhar Mohd, 45, berkata, laporan polis telah dibuat oleh suami jirannya itu.


Setakat ini katanya, pemaju bersetuju untuk membiayai keseluruhan kos baik pulih kerosakan.


“Pemaju perumahan sudah datang dan melihat sendiri kerosakan malah bersetuju untuk menanggung kesemua kos kerugian yang dialami,” katanya.
 
Sementara itu, dimaklumkan pemandu jentera yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Peringatan: Topengmaya tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami.

Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive