Friday 9 March 2012

Bekas polis kanan gesa siasat semula kes pembunuhan Altantuya

Bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim menggesa polis membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu kerana khuatir terdapat "banyak perkara yang tidak kena" dalam kes tersebut.

Malah, polis juga berkuasa untuk menjalankan siasatan berasingan dalam kes tersebut tanpa perlu menerima arahan mahupun menyerahkannya

kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau mendakwa terdapat "banyak perkara tidak kena, penyembunyian bukti material dan juga manipulasi" dalam perjalanan kes berkenaan yang menyebabkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berkenaan.

Dua lagi tertuduh dalam kes berkenaan, Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mengulas lanjut, Mat Zain berkata polis mempunya kuasa dan juga justifikasi untuk melihat semula keseluruhan siasatan mereka sedaya upaya untuk mencari bukti.

“Tiada (pihak) yang mempunyai kuasa untuk menghalang polis daripada menjalankan tugas mereka. (Peguam Negara) Tan Sri Abdul Gani Patail pun tidak boleh (halang). Seorang pegawai polis boleh menahan, tanpa waran, mana-mana orang yang menghalang mereka.

“Peguam Negara mungkin mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menamatkan apa-apa prosiding jenayah namun beliau tidak berkuasa untuk memalsukan, memanipulasi, menyembunyikan atau memusnahkan bukti pada bila-bila yang dia suka.

“Fahami juga bahawa IGP (ketua polis negara) bukannya pak turut AG dan bahawa polis boleh berfungsi secara bebas tanpa perlu menyesuaikan siasatan menurut kehendak AG," katanya lagi dalam kenyataan kerasnya hari ini.

Tambahnya, pendakwaan dan hukuman ke atas Azilah dan Sirul Azhar mungkin dijalankan berdasarkan "bukti palsu" yang diakui Abdul Razak dan seorang saksi dalam kes berkenaan, penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Dalam penghakiman kes berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota  polis yang dijatuhi hukuman itu.

 malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Peringatan: Topengmaya tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami.

Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...