Saturday 10 March 2012

Himpunan desak mansuh segera PPSMI April depan

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menggerakkan satu himpunan rakyat bagi mendesak kerajaan menyegerakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan yang dirangka pada awal April itu akan diadakan di Pagoh, Johor sebagai langkah awal menggerakkan semula bantahan berhubung dasar tersebut.

Pengerusi GMP, Prof Shahril Md Zin, berkata bantahan terhadap dasar itu perlu dihidupkan memandangkan tidak nampak usaha kerajaan bersungguh-sungguh untuk memansuhkannya segera.

"Walaupun kerajaan mengumumkan dasar PPSMI ini akan dimansuhkan, kebelakangan ini kita mendapati seolah-olah ada gerakan daripada pihak-pihak tertentu yang ingin menghidupkan semula dasar ini," dakwa beliau ketika berucap di Himpunan Ulangtahun Ketiga PPSMI, di Madrasah Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Gombak, hari ini.

Perkara itu, dakwa beliau boleh dilihat saban hari melalui akhbar The Star yang sering memainkan isu agar kerajaan memikirkan semula pelaksanaan dasar tersebut.

Atas sebab itu, Shahril beranggapan perjuangan GMP selama ini boleh dianggap tercapai hanya sekitar 60 peratus sahaja, sekaligus memerlukan lebih banyak usaha ke arah pemansuhan segera dasar tersebut.

Tambah Shahril, GMP bukan sahaja meminta kerajaan memansuhkan dasar PPSMI tersebut, tetapi dalam masa sama mengembalikan martabat bahasa Melayu yang sudah sekian lama dipinggirkan.

Himpunan hari ini diadakan bagi mengingati sejarah perjuangan rakyat bersama GMP pada 10 Mac 2009, yang menyaksikan ribuan rakyat yang menyertai himpunan mansuh PPSMI di ibu kota disembur dengan gas pemedih mata dan 'water cannon' oleh pihak berkuasa.

Selain Shahril, turut memeriahkan majlis hari ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Setiausaha GMP, Hasni Abas; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dr. Awang Sariyan.

Selain ucapan para penggiat bahasa, majlis himpunan ini turut memberi ruang kepada penggiat seni untuk menzahirkan pendapat mereka tentang dasar PPSMI seperti deklamasi sajak oleh Dinsman.

Acara kemuncak bagi himpunan ini ialah pelancaran Madrasah Seni, dan pelancaran buku baru Dinsman, Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, oleh Pak Samad yang akan diadakan malam ini.

No comments:

Post a Comment

Peringatan: Topengmaya tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami.

Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...