Thursday, 26 January 2012

'Budak Suruhan Kaki Buat Taik'







Timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad berkata bekas ketuanya, Datuk Dr Hasan Ali hanya akan menjadi "budak suruhan" dalam Umno apabila berjinak-jinak dalam kem "kuasa ketiga" – kumpulan yang dikatakan akan meraih sokongan pengundi penentu dalam pilihan raya akan datang.



Sambil menyifatkan 'kuasa ketiga' itu sebagai hanya "rekaan romantis" untuk kepentingan BN, Khalid (kiri) yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata, ia hanya akan menjadi "pengacau" apabila calon dari kem Pakatan Rakyat berdepan dengan calon BN dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan dalam satu program wawancara di TV3, Rabu lalu yang antara lainnya mengupas mengenai gerakan kuasa ketiga yang bakal disertai bekas exco Selangor itu.



Hasan dalam program tersebut juga berkata, beliau tidak merangka untuk bergerak ke peringkat bertanding dalam pilihan raya, namun usaha melalui gerakan kuasa ketiga itu telahpun dimulakan oleh "teman-teman" yang tidak dinyatakannya.

Hasan juga berkata jenama kuasa ketiga itu masih belum ditentukan, namun beliau akan bergabung dengan wakil rakyat bebas yang lain, dengan menawarkan manifesto bersama walaupun tidak mempunyai parti sendiri.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata, beliau juga tertanya-tanya siapakah lagi yang masih menyokong ADUN Gombak Setia itu, terutamanya di dalam PAS.

"Kalau dia ramai teman-teman yang sokong dia, seharusnya dia dapat pencalonan untuk jadi calon di Gombak Setia," kata Khalid lagi.

Tambahnya, Hasan juga sebelum ini termasuk dalam senarai 'top five' dalam senarai 18 pemimpin tertinggi untuk bertanding dalam jawatankuasa PAS pusat.
"Dalam pemilihan tahun lepas, dia turun ke nombor dua tercorot. Kalau betul ramai sokong dia, kenapa perkara itu berlaku? Sepatutnya dialah yang dapat undi paling banyak," katanya lagi.

Dalam pemilihan parti pada 3 Jun itu, Hasan (kanan) berjaya merebut keanggotaan dalam jawatankuasa pusat dengan kedudukan di tangga ke-16, dengan kemenangan tipis 437 undi.

Khalid juga mendakwa, Hasan bukan saja telah "mengelilingi diri dengan orang Umno" selepas Mac 2008, malah turut mengenepikan orang PAS yang banyak membantu beliau ketika kempen pilihan raya.

"Dia tidak manfaatkan (kerjasama) team PAS. Dia tidak ambil orang PAS untuk berada di keliling dia, tapi dia dikelilingi orang Umno, lebih-lebih lagi semenjak dia tak dilantik jadi menteri besar.

"Orang yang kerja keras semasa pilihan raya 2008, lepas menang tiada lagi (bersama Hasan). Itulah antara sebab dia tak dapat pencalonan (bertanding di Gombak Setia)," katanya yang turut menjangkakan Hasan tidak akan merayu pemecatannya daripada PAS.

Hasan masih berpeluang sehingga 8 Februari untuk berbuat demikian.

Khalid berkata, penyokong dalam PAS juga sebelum ini masih bersimpati dengan Hasan selepas penceramah motivasi itu dikenakan tindakan penggantungan.

"PAS pun tak mahu pecat dia sebab kita sayang ahli kita. Kita nak selamatkan dia biar dia terus bersama PAS.

"Nampaknya dia dah tak mahu bersama walaupun telah diberi penjelasan. Semuanya bermula apabila dia tidak lagi jadi pesuruhjaya. Sebelum ini tak timbul masalah tapi bila tak jadi pesuruhjaya dia tak boleh terima.

"Mulalah dia buat perangai pelik-pelik, kemudian barulah (PAS) terpaksa pecat dia," kata Khalid lagi.-Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Peringatan: Topengmaya tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami.

Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...